Friday 20 May 2016

PENULISAN ILMIAH : PERANAN MAKANAN KAUM INDIA MUSLIM DI “SUBAIDAH BISTRO” USM PULAU PINANG"


PUSAT PENGAJIAN ILMU KEMANUSIAAN
SIDANG AKADEMIK 2015/2016
TAHUN 2 / SEMESTER 4



HMT 216:
PENULISAN ILMIAH


PERANAN MAKANAN KAUM INDIA MUSLIM DI “SUBAIDAH BISTRO” USM PULAU PINANG TERHADAP MASYARAKAT SETEMPAT YANG MENJAMIN WUJUDNYA PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA.


DISEDIAKAN OLEH:
SYAHRUL NINIE NADHIRAH BT MOHD BAROYI / 123543



DISEDIAKAN UNTUK:
DR. ANISWAL ABD GHANI




1.0       ABSTRAK
Menurut kajian yang telah dijalankan, saya memfokuskan tentang makanan kaum India Muslim iaitu lebih dikenali sebagai “Mamak” di Subaidah Bistro Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan sejauh manakah pendapat kaum-kaum lain mengenai makanan Mamak ini. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, saya telah dapat mengenal pasti mengenai jenis makanan Mamak serta pandangan kaum lain terhadap makanan Mamak ini. Tambahan lagi, melalui kajian yang dijalankan, saya dapat mengenal pasti peranan makanan kaum India terhadap pembentukan masyarakat majmuk terutama di dalam USM. Makanan kaum India Muslim juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kaum di Malaysia kerana makanan mereka mempunyai persamaan dengan makanan kaum lain serta digemari oleh setiap lapisan masyarakat. Kajian ini telah memaparkan persepsi kaum lain terhadap makanan kaum India Muslim terutama di USM Pulau Pinang.
Walaupun terdapat sesetengah masyarakat tidak mahu ataupun tidak suka makan makanan India, namun majoriti penduduk Malaysia dipercayai lebih gemar berkunjung ke restoran India Muslim untuk menikmati sajian mereka. Maka, kajian ini akan menunjukkan peranan makanan kaum India Muslim terhadap penyatuan dan perpaduan negara dan telah menjadi salah satu daripada menu sarapan pagi terutamanya di seluruh negeri di Malaysia, seperti roti canai di kedai-kedai makan atau warung-warung sekitar termasuklah dalam kawasan universiti. Secara keseluruhan dapat disimpulkan bahawa, makanan Mamak tidak asing lagi dengan masyarakat di Malaysia kini. Malah setiap kaum dapat menikmati makanan kaum Mamak ini, dan ramai yang berpendapat bahawa makanan ini memenuhi citarasa mereka terutama penggemar makanan Mamak.


2.0       PENGENALAN
Makanan merupakan sumber utama untuk meneruskan kehidupan manusia. Namun, ia juga memainkan peranan yang penting untuk menyatu padukan masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk ataupun rakyat yang berbeza bangsa dan suku kaum. Suku kaum ini termasuklah tiga suku yang terbesar seperti Melayu, Cina dan India, dan seterusnya diikuti oleh suku minor yang lain. Setiap kaum mempunyai keistimewaan dan perbezaan daripada segi adat dan budaya malah daripada segi makanan. Jika dilihat dengan lebih mendalam, adat dan budaya juga mempengaruhi dalam kepelbagaian jenis makanan setiap kaum. Perkara ini menunjukkan bahawa terdapat perbezaan daripada segi penyediaan dan bentuk serta jenis-jenis makanan mengikut budaya masing-masing. Justeru, kajian ini merupakan sebuah kajian yang berunsurkan budaya yang terkandung dalam setiap makanan tradisional dan bukan tradisional suku kaum India Muslim serta mengenal pasti peranannya terhadap perpaduan rakyat di Malaysia termasuklah di dalam USM Pulau Pinang.
Agama dan kebudayaan India berperanan besar dalam perkembangan seni kulinari mereka. Walau bagaimanapun, interaksi antara budaya dengan kawasan lain seperti Timur Tengah, Asia Tengah, dan Laut Tengah menjadikan masakan India sebagai percampuran unik daripada segi kepelbagaian masakan Asia. Maka, perkara ini juga berlaku di Malaysia kerana pelbagai makanan tradisional atau tidak tradisional kaum India Muslim telah dimasukkan unsur-unsur kaum lain dalam proses menghidangkan makanan mereka. Hal ini juga boleh menunjukkan makanan kaum India Muslim dapat memperlihatkan ciri-ciri Satu Malaysia kerana ianya bukan sahaja mempunyai unsur-unsur kegemaran kaum lain, tetapi ia juga digemari oleh seluruh warga Malaysia. Seperti dalam kajian yang telah dijalankan, kami telah memilih untuk mengkaji makanan yang digemari oleh masyarakat setempat iaitu lebih dikenali dengan makanan India Muslim “Mamak” di Subaidah Bistro USM Pulau Pinang.


3.0       OBJEKTIF KAJIAN
1.      Pengenalan kepada makanan Mamak, serta mengenal pasti beberapa jenis makanan yang dihasilkan untuk membezakan kaum India Muslim (Mamak) dengan kaum lain di Pulau Pinang.
2.      Mengenal pasti peranan makanan kaum India Muslim iaitu Mamak di Subaidah Bistro terhadap pembentukan masyarakat majmuk, dan bagaimana makanan tersebut  mampu menarik minat semua kaum serta  menyatukan kaum terutama di USM Pulau Pinang.
3.      Menilai pandangan dan persepsi kaum-kaum lain terhadap makanan suku kaum India Mamak daripada segi kekerapan untuk ke kedai makan Mamak, persepsi terhadap makanan yang disediakan, kepelbagaian menu pilihan yang disediakan dan cara penyediaan makanan.


4.0       DAPATAN KAJIAN DAN ANALISIS

            4.1       Pengenalan Kepada Mamak, Jenis-Jenis Makanan Dan Perbezaan Dengan
                         Makanan Kaum Lain.

4.1.1    Pengenalan Kepada Mamak
Perkataan Mamak mempunyai pelbagai maksud berdasarkan bangsa, budaya, amalan dan lokasi geografi. Perkataan Mamak yang digunakan pada situasi berbeza memberi maksud yang berlainan. Menurut sejarah Malaysia, kedatangan India Muslim dari selatan India bermula pada kurun ke-10. Mereka orang pertama yang datang ke gugusan kepulauan Melayu di Samudera yang kini dikenali sebagai Aceh yang terletak di Pulau Sumatera, Indonesia. Mereka kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu untuk berdagang dan ada juga yang menetap di sini menjadi penduduk tetap. 
Penduduk tempatan menggunakan perkataan Mamak bagi membezakan India Muslim dan India bukan Islam. Apabila perkataan Mamak disebut, secara automatik masyarakat mengetahui bahawa ianya merujuk kepada India yang beragama Islam. Selain itu, perkataan Mamak juga digunakan bagi menunjukkan status India Muslim yang berkahwin dengan orang Melayu. Perkataan ini juga digunakan oleh masyarakat tempatan apabila merujuk kepada anak pasangan India Muslim dan Melayu.
Perkataan Mamak juga menjadi jenama perniagaan yang dikenali. Hal ini dapat memberi alternatif baharu dalam dunia perniagaan sama ada perniagaan kecil, sederhana mahupun besar kepada negara. Keadaan ini juga secara tidak lansung dapat menjelaskan bahawa perkataan Mamak bukan sekadar panggilan hormat bahkan ia menjadi istilah perniagaan yang diketahui umum di dalam negara ini. 
Pulau Pinang mencatatkan sejarah yang unik bagi kedatangan komuniti India Muslim pada kurun ke-18. Hal ini demikian kerana kedatangan mereka ke Tanah Melayu secara beramai-ramai lebih awal berbanding British. Bandar Geogetown di Pulau Pinang pernah menjadi tumpuan peniaga India Muslim bagi menjalankan aktiviti jual beli.
Terdapat beberapa jenis perniagaan yang dijalankan oleh penduduk India-Muslim di negara ini antaranya seperti perniagaan makanan, perniagaan tekstil, perniagaan runcit dan lain-lain lagi.  Perniagaan berasaskan makanan adalah yang paling pesat berkembang dan muncul di beberapa buah negeri di Malaysia antaranya di Pulau Pinang, Kedah Melaka dan Kuala Lumpur.
Kemunculan mereka bermula dengan lahirnya kedai mi goreng, rojak dan cendol yang dijual secara bergerak kemudian berkembang kepada kedai roti canai dan akhirnya menjadi restoran. Peniaga India Muslim juga turut menjual nasi dan lauk yang dikandar. ‘Kandar’ bermaksud mengangkat, mengalas, ataupun memikul barang-barang menggunakan buluh, kayu ataupun galah yang diletakkan di atas bahu. Hal ini menjadikan nama nasi dan lauk yang dikandar itu disebut Nasi kandar.

4.1.2    Antara Jenis Makanan Mamak

Nasi Kandar
Nasi Kandar adakah satu hidangan utara Malaysia yang sangat terkenal dan berasal dari Pulau Pinang. Resepi Nasi Kandar merupakan satu hidangan nasi kukus yang mempunyai rasa tawar atau sedikit berperisa. Resepi Nasi Kandar biasanya disajikan dengan kepelbagaian kari dan hidangan sampingan. Perkataan Nasi Kandar dinamakan sedemikian adalah kerana pada zaman dahulu, seorang penjaja nasi menjinjing (mengandar) tiang yang menggantung dua bekas nasi dan nama kandar telah didapat daripada keadaan ini. Nama itu telah kekal sehingga hari ini dan ditulis dalam menu makanan bagi kebanyakan restoran Tamil Islam atau "Mamak Malaysia" dan gerai hidangan India Muslim. 
Nasi untuk dijadikan Nasi Kandar biasanya diletakkan dalam bekas kayu yang mempunyai kira-kira tiga kaki tinggi dan memberikan ia satu bau tersendiri. Hidangan Nasi Kandar akan dilengkapi oleh daging seperti ayam goreng, limpa kari, daging lembu, telur ikan, udang atau sotong goreng. Hidangan sayur itu biasanya adalah seperti terung, bendi atau peria. Mengikut tradisi, Resepi Nasi Kandar selalu dihidangkan bersama hidangan sampingannya dalam satu pinggan. Namun, mangkuk melamina kecil adalah digunakan untuk hidangan sampingan. Campuran sos kari yang istimewa sentiasa akan dicurahkan terus pada nasi. Pada mulanya pengaruh masakan mereka ini tertumpu di utara Semenanjung sahaja: Alor Setar, Kangar, Sungai Petani dan Penang. Lama kelamaan populariti Nasi Kandar ini menular keseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. 
Kini terdapat lebih daripada 500 kedai Nasi Kandar di seluruh Pulau Pinang. Antaranya ialah Nasi Kandar Kapitan, Nasi Kandar Kayu, Nasi Kandar Khaleel, Nasi Kandar Kassim Mustafa, Nasi Kandar Dawood, Nasi Kandar Beratur dan Nasi Kandar Ramzan dan lain-lain lagi.

Roti Canai
Roti canai merupakan makanan kegemaran penduduk Malaysia dan seluruh dunia. Nama roti canai berasal dari kawasan Chennai di India. Makanan ini turut dikenali sebagai roti prata. Roti Canai adalah makanan tradisional kaum India di Malaysia. Namun begitu, roti canai biasanya dijual di restoran mamak. Makanan ini kini sangat disukai bukan sahaja kaum India tetapi seluruh rakyat Malaysia. Hal ini secara tidak langsung berjaya meletakkan tarafnya setanding dengan nasi lemak yang turut diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. 

Roti canai merupakan sejenis roti nipis yang diperbuat daripada tepung. Pembuat roti canai kini telah melakukan inovasi pada ramuan roti tersebut sehingga muncul pelbagai jenis roti antaranya ialah roti telor, roti tisu, roti sardin, roti bawang, roti pisang, roti boom dan lain-lain. Roti canai biasa disaji bersama dengan sambal cili, sambal ikan bilis, kari ikan atau kari ayam. Kebiasaanya, pelajar universiti juga amat gemarkan roti canai sebagai sarapan pagi sebelum memulakan kuliah atau selepas kuliah pagi.

Capati
Capati adalah sejenis makanan yang digemari dan turut menjadi juadah sarapan pagi yang paling digemari oleh semua masyarakat. Capati mempunyai sedikit persamaan dengan roti canai dimana ramuan yang digunakan untuk menghasikannya adalah hampir sama tetapi cara memasak adalah berbeza. Hal ini demikian kerana, capati dimasak melaui kaedah pembakaran. Capati dihasilkan daripada tepung yang diuli menjadi doh kemudian ditempa seperti lempeng serta kemudiannya dibakar tanpa menggunakan minyak. Capati yang diolah daripada gandum mempunyai banyak khasiat dan makanan ini sesuai untuk masyarakat yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi kerana kandungan gula dan lemak adalah rendah. Roti ini sedap dimakan bersama kuah dal, kari dan juga sambal bilis. 
Keunikan roti canai dan capati kini terserlah kerana tidak lagi menjadi menu sarapan pagi sahaja, tetapi telah menjadi menu hidangan utama di restoran mamak dan mendapat permintaan tanpa mengira waktu. Kini makanan ini telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia seterusnya dapat memupuk perpaduan di negara ini melalui penerimaan makanan kaum lain sebagai makanan harian. Semua lapisan masyarakat berkongsi menu makanan yang sama tanpa mengira status, agama dan juga budaya.

4.2       Peranan Makanan Kaum India Muslim Dalam Menyatukan Kaum Di Malaysia.
Makanan memainkan peranan penting sebagai jambatan untuk mengeratkan hubungan antara seseorang individu dengan individu yang lain. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia dapat menikmati makanan etnik lain secara mudah dan cepat. Rakyat Malaysia tidak perlu bersusah payah untuk mencari dan menikmati makanan etnik lain kerana terdapat banyak restoran dibuka yang berbeza dari segi budaya, cara masakan dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, makanan kaum India Muslim atau dikenali sebagai makanan Mamak merupakan salah satu makanan yang paling digemari oleh rakyat Malaysia dan di USM Pulau Pinang, Subaidah Bistro juga merupakan salah satu restoran yang sangat popular dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi, malah para pensyarah dan kakitangan USM juga sering kali memilih Subaidah Bistro sebagai tempat untuk menjamu selera kerana kepelbagaian makanan yang disediakan setiap hari.
Kebanyakan rakyat Malaysia gemar mengunjungi restoran kaum India atau Mamak tanpa mengira kelainan agama, bangsa, umur, jantina, dan sebagainya. Secara tersiratnya, situasi ini telah membantu pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia. Individu yang berasal daripada kaum yang berlainan dapat menikmati makanan di kedai Mamak bersama-sama. Situasi ini secara tidak langsung telah menunjukkan kedai Mamak merupakan sebuah lokasi yang dapat menyatupadukan rakyat. Seterusnya, antara dapatan kajian yang didapati melalui kaedah pemerhatian adalah ramai individu yang terdiri daripada pelbagai kaum gemar mengunjungi kedai Mamak adalah untuk menonton siaran televisyen terutamanya pada hari perlawanan bola sepak, badminton dan sebagainya. Pada hari tersebut, para peminat yang terdiri daripada pelbagai kaum akan mengunjungi kedai Mamak untuk menonton perlawanan secara siaran langsung. Hal ini membolehkan kedai mamak memainkan peranan utama sebagai platform untuk menjalinkan hubungan antara satu sama lain.
Kedai Mamak digemari oleh masyarakat Malaysia juga kerana makanannya mempunyai unsur-unsur yang dapat menunjukkan identiti masyarakat majmuk. Kedai mamak di Malaysia telah banyak dipengaruhi oleh budaya masyakat yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia mempunyai cita rasa yang berbeza daripada segi agama, budaya dan bangsa. Walau bagaimanapun, makanan yang dihidangkan di kedai Mamak kini dapat memenuhi permintaan setiap individu. Makanan di kedai Mamak bukan sahaja menghidangkan makanan kaum India Muslim tetapi juga turut menghidangkan makanan yang biasa dihidangkan oleh etnik yang lain sebagai contoh, nasi lemak dan char kuay teow dan makanan ala-ala barat. Hal ini menyebabkan kedai Mamak di Malaysia merupakan salah satu tempat yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Sehubungan dengan itu, antara faktor yang menarik minat rakyat Malaysia untuk mengunjungi kedai Mamak adalah kerana pilihan makanan yang banyak dan tidak didominasikan oleh sebuah kaum sahaja. Hal ini dapat memberi peluang untuk mereka mencuba dan menikmati makanan kaum lain di sebuah restoran sahaja. Sebagai contoh, di Subaidah Bistro, terdapat dua mempunyai bangunan dua tingkat. Bangunan bawah adalah untuk masakan panas, nasi kandar serta pelbagai jenis roti seperti roti canai, tosai dan sebagainya, manakala bangunan atas pula menyediakan makanan ala-ala barat untuk mempelbagaikan menu di bistro tersebut seperti chicken chop dan lain-lain.




Kedua-dua gambar di atas merupakan menu di sebuah kedai Mamak, ia telah menunjukkan pilihan makanan yang mempunyai pelbagai unsur satu Malaysia. Sebagai contoh, nasi lemak merupakan makanan tradisional kaum Melayu, tosai merupakan makanan tradisional kaum India dan char koay teow merupakan makanan tradisional kaum Cina. Hal ini menunjukkan ketiga-tiga kaum yang terbesar di Malaysia dapat hidup secara bersatu padu dan harmoni.
Tambahan pula, keistimewaan makanan Mamak yang dapat memenuhi cita rasa yang berbeza dalam kalangan rakyat Malaysia juga telah banyak membantu dalam pembentukan perpaduan negara. Sebagai contoh, seorang individu yang berkaum India ingin menjemput sahabatnya yang berkaum Cina pergi ke restoran India, sahabatnya berkemungkinan akan menolak jemputannya kerana dia risau diri sendirinya tidak boleh memakan makanan yang terlalu pedas. Namun, jika individu tersebut menjemput sahabatnya ke sebuah kedai Mamak, sahabatnya akan berasa lebih selesa untuk berbuat demikian. Hal ini adalah kerana kedai Mamak mempunyai lebih banyak pilihan yang dapat memenuhi pelbagai cita rasa rakyat Malaysia. 


4.3       Persepsi Kaum Lain Terhadap Masakan Mamak
               4.3.1 Contoh Borang Soal Selidik Yang Digunakan Dan Rajah Hasil Kajian
                                               

BORANG SOAL SELIDIK

           A)    CIRI-CIRI RESPONDEN

          WARGANEGARA:
          BANGSA:
          UMUR:

     B) SOALAN SUBJEKTIF

I) ADAKAH ANDA KERAP MEMAKAN MAKANAN BUATAN MAMAK?
______________________________________________________________________________________________________________________________________________________

II)APAKAH PERSEPSI ANDA MENGENAI MAKANAN MAMAK ?
______________________________________________________________________________________________________________________________________________________

III)ADAKAH MAKANAN TRADISIONAL INDIA MUSLIM  MEMPENGARUHI KEHIDUPAN SEHARIAN ANDA?
______________________________________________________________________________________________________________________________________________________

IV) APAKAH JENIS MAKANAN INDIA MUSLIM YANG MENJADI
       KEGEMARAN ANDA?
______________________________________________________________________________________________________________________________________________________

V)ADAKAH LAYANAN YANG DIBERIKAN OLEH RESTORAN MAMAK
     KEPADA PELANGGAN SAMA DENGAN LAYANAN DARIPADA
     RESTORAN TEMPATAN YANG LAIN?
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________


4.3.2    Rajah Hasil Kajian
  

4.3.3    Rumusan Borang Soal Selidik
Taburan Jadual 1 di atas, menunjukan kekerapan pengambilan makanan tradisi kaum India dalam seminggu. Taburan ini menunjukan bahawa jumlah responden tertinggi ialah tiga hingga lima kali seminggu dalam pengambilan makanan kaum India Mamak. Justeru, untuk kekerapan sekali hingga dua pula menunjukan hanya tiga responden sahaja. Responden yang mengakui amat kerap menjadikan makanan tradisi kaum India Muslim sebagai menu pilihan mereka pula ialah enam responden. 
Berdasarkan Rajah 1 di atas, dapat dilihat roti canai menjadi pilihan tertinggi dalam kaji selidik ini. Roti canai menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Tosai pula mencatatkan enam pilihan berbanding Nasi Beriyani hanya empat responden yang memilih makanan tradisi India tersebut. Hanya tiga responden memilih chaki diikuti putu mayam dan muruku yang menjadi pilihan dua responden setiap satu.
Pengkaji membuat perbincangan berdasarkan kepada borang kaji selidik yang telah diproses, iaitu bahagian A dan B. Bahagian A merupakan latar belakang responden seperti jantina, bangsa, tempat tinggal, umur dan pekerjaan. Bahagian B pula merupakan soalan yang berkaitan dengan kaji selidik. Soalan ini ditanya untuk mengukuhkan objektif kajian dimana makanan tradisi kaum boleh membentuk perpaduan bangsa. Selain itu, tujuan lain kajian ini adalah untuk melihat persepsi makanan tradisi kaum India Muslim kepada masyarakat lain. Ada dalam kalangan responden yang kurang mengambil makanan India Muslim disebabkan kandungan makanan tersebut boleh mendatangkan penyakit obesiti jika diambil berlebihan namun pandangan ini tidak menggangu perpaduan yang terjalin dalam masyarakat kita di Malaysia. Hal ini berlaku disebabkan sesetengah orang sahaja dan bukan majoriti yang berprasangka buruk tentang makanan India Muslim, pandangan yang positif ini harus dijadikan tauladan kerana responden bukan menolak makanan India Muslim namun beliau mengurangkan pengambilan makanan India jika dibandingkan dengan masakan tradisi kaum yang lain. 
Hasil kajian menunjukkan tidak kira latar belakang mereka siapa dan dari mana asal mereka, responden memberi respon yang baik untuk setiap makanan tradisi kaum India Muslim. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat di Pulau Pinang ini mempunyai pengetahuan tentang makanan tradisi kaum lain. Selain itu, dalam kehidupan harian, kita dapat melihat makanan tradisi sesuatu kaum ini bukan hanya boleh dimasak oleh kaum sendiri sahaja tetapi oleh bangsa lain juga. Sebagai contoh, nasi lemak juga dimasak dan disediakan oleh orang India Muslim dan roti canai juga dibuat oleh orang Melayu dalam perniagaan warung mereka. 
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, pola pengambilan responden terhadap makanan tradisi kaum India Muslim amat kerap iaitu di antara tiga hingga lima kali seminggu. Hal ini memberi respon positif bahawa masyarakat di Pulau Pinang ini boleh menerima makanan tradisi kaum India Muslim. Di samping itu, ramai yang mengakui yang pengambilan makanan tradisi kaum India Muslim juga mempengaruhi hidup mereka. Hal ini bermakna, apabila mereka menyukai sesuatu makanan tradisi kaum India Muslim, mereka akan berusaha untuk mempelajari atau mengetahui cara penyediaannya. 
Hasil daripada kaji selidik yang dijalankan juga, boleh dilihat yang pengambilan makanan tradisi kaum lain amat mempengaruhi perpaduan antara masyarakat di sini. Hampir semua responden (80%) bersetuju bahawa perpaduan boleh terbentuk melalui pengambilan makanan tradisi kaum India. Mereka memberi pandangan bahawa makanan tradisi kaum India Muslim amatlah penting didalam kehidupan sesuatu kaum. Selain itu, amalan penyediaan dan memasarkan makanan tradisi ini perlu dikekalkan agar tidak dilupakan oleh generasi sekarang dan generasi akan datang. Tambahan lagi, antara pandangan lain pula, makanan tradisi sememangnya dapat diterima oleh semua golongan masyarakat. Hal ini disebabkan penyediaan makanan tradisi kaum agak mudah dan ringkas sahaja.
Berdasarkan kajian, roti canai menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Tosai pula mencatatkan 6 orang responden, manakala nasi beriyani hanya 4 orang responden yang memilih makanan tradisi tersebut. Hanya 3 orang responden memilih muruku diikuti putu mayam dan chakli yang menjadi pilihan 2 orang responden setiap satu. Hal ini menunjukkan bahawa responden tidak memilih makanan untuk dimakan dan mereka mengenali makanan yang dipilih dengan baik.
Berdasarkan kajian dapat dilihat bahawa majoriti pelanggan yang berkunjung ke kedai mamak sangat berpuas hati terhadap layanan dan proses hidangan makanan yang sangat memuaskan hati pelanggan berbanding dengan kurang berpuas hati hanya 3 orang daripada 30 orang responden.


5.0  KESIMPULAN

            Dalam negara Malaysia, terdapat pelbagai jenis makanan yang melambangkan setiap kaum yang berada di negara ini. Makanan-makanan ini dahulunya hanya disajikan semasa mengadakan upacara tradisional seperti perayaan mahupun upacara istiadat setiap kaum. Namun dengan pembangunan dan sikap terbuka masyarakat Malaysia, makanan-makanan ini dapat dinikmati bukan sahaja oleh satu kaum tetapi boleh disajikan kepada kaum-kaum yang lain di kedai-kedai makan sekitar Malaysia termasuklah dalam kawasan universiti seperti di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 
 Jelaslah bahawa, rakyat di negara ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan dan tidak lagi menimbulkan isu perkauman agar dapat hidup dengan aman serta harmoni bagi menjayakan kempen 1 Malaysia, maka jelaslah bahawa makanan yang berbeza daripada kaum yang berbeza dapat mengeratkan hubungan etnik dan perkauman di sesuatu negara, termasuklah negara Malaysia. Selain daripada dapat berkongsi rasa, kita juga dapat bertukar-tukar selera mengikut kepelbagaian kaum di Malaysia ini. Sikap yang diamalkan oleh masyarakat ini dengan kata lain telah merapatkan jurang perkauman di antara satu sama lain dengan satu tujuan iaitu mewujudkan masyarakat majmuk yang harmoni serta menghormati cara hidup dan pemakanan sesuatu kaum. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah permbentukan masyarakat majmuk termasuklah dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti. 
Seterusnya, kajian ini turut mengenal pasti interaksi antara satu etnik dengan etnik yang lain melalui makanan entik dan kajian ini juga mengkaji tahap kefahaman masyarakat terhadap makanan kaum lain. Secara ringkasnya, perpaduan amat memberikan manfaat dalam kehidupan harian kerana kepelbagaian etnik merupakan pelengkap kepada keharmonian dan kebahagiaan yang dinikmati bersama sesuai dengan penonjolan imej negeri Pulau Pinang yang terkenal dengan masyarakat “India Muslim” dan “Nasi Kandar”.

6.0       BIBLIOGRAFI


      RUJUKAN ILMIAH
Audrey Lim (2001). The Mamak Phenomenon,Things Asian, Experience Asia Though
      The Eyes Of Traveller. 26th sept 2001.

     Berita Kampus USM, (28 December 2012). Peniaga nasi kandar tradisional masih 
            wujud.

  Chandra Muzaffar ( 1989). Challenges and Choices in Malaysian Politics And Society.                                                 
      Penang: Aliran.

    Muhammad Faisal Sharbudin & Zamri Mohamad (2008). Rahsia Bisnes Mamak. Kuala   
      Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn.Bhd. 

    RUJUKAN LAMAN SESAWANG

Wikipedia, diakses pada 20/5/2016 pada jam 12.30 a.m,

Blog “Tomato Mamak” dicapai pada 20/5/2016 pada jam 12.44 a.m,

LAMPIRAN 


 ** capaian ke Google Drive, format PDF :)




 https://drive.google.com/open?id=0B8rBsaB5hLWXR1Uxb0ZMVFlIWUU











1 comment:

  1. Boleh emailkan kepada saya (email tertera) jika anda inginkan file yang berbentuk PDF, serta jika terdapat sebarang penambah baikkan ke dalam penulisan ini. Terima Kasih,

    Love, Ninie.

    ReplyDelete